Thursday 31 July 2014

ISI


 

Dasar Ekonomi Baru (DEB)

           Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan dalam tahun 1970 sebagai tindak balas atau reaksi kepada peristiwa 13 Mei 1969.

           Program-program pembangunan sejak merdeka belum dapat mengatasi perbezaan sosioekonomi antara bumiputera dengan bukan bumiputera, desa dengan bandar, negeri-negeri pantai barat dengan pantai timur dan negeri-negeri di Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak. DEB diperkenalkan dan dilancarkan bagi tempoh 20 tahun (1971-1990).

           Dasar Ekonomi Baru adalah tercakup dalam RRJP1 (1970-1990). Matlamat DEB adalah serampang dua mata iaitu membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan menyusun semula masyarakat supaya aktiviti ekonomi tidak dikaitkan dengan mana-mana kaum atau keturunan.

           DEB merupaka satu strategi negara dalam menghadapi realiti 'perbezaan etnik' dalam usaha mewujudkan keseimbangan dalam pelbagai aspek kehidupan. Ia juga merupakan satu dasar yang mempunyai cabaran, pengorbanan dan iltizam yang memerlukan satu perubahan sikap atau mental semua penduduk di negara ini.

           Secara keseluruhannya, DEB telah berjaya membawa perubahan dalam tempoh dua puluh tahun ia dilaksanakan (1971-1990) sepanjang tempoh RRJP1.




Rangka Rancangan Jangka Panjang (RRJP)

           Rangka Rancangan Jangka Panjang Pertama (RRJP1) meliputi tempoh 1971-90 kini telah tamat. Di bawah rangka ini, Kerajaan telah melaksanakan empat rancangan pembangunan bermula dengan Rancangan Malaysia Kedua (1971-75) hingga Rancangan Malaysia Kelima (1986-90). Rancangan-rancangan pembangunan ini telah dilaksanakan di bawah rangka Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan oleh Kerajaan pada tahun 1970, berikutan daripada peristiwa rusuhan kaum pada tahun 1969. Dasar ini adalah bertujuan untuk menggalakkan pert umbuhan dengan pengagihan yang saksama ke arah mencapai matlamat perpaduan di kalangan kaum di negara ini.

           Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua (RRJP2) yang meliputi tempoh 1991-2000 telah digubal berasaskan kepada dasar yang dikenali sebagai Dasar Pembangunan Baru (DPB). DPB akan memperkukuhkan lagi pencapaian di sepanjang RRJP1 untuk mempercepatkan proses membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat dalam usaha memperbaiki lagi ketidak¬seimbangan sosial dan ekonomi. Ia merupakan satu rangkadasar yang lebih luas bagi mencapai matlamat sosio-ekonomi untuk tempoh sepuluh tahun akan datang dalam konteks perkembangan ekonomi yang pesat. Semasa menggubal DPB, Kerajaan telah menimbangkan pandangan dan cadangan berbagai pihak termasuk Laporan Majlis Perundingan Ekonomi Negara mengenai dasar negara selepas 1990.

           Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RRJP3) yang merupakan pembangunan dekad kedua Wawasan 2020 menumpukan kepada meningkatkan keutuhan dan daya saing negara. Dalam tempoh ini, usaha akan dilaksana untuk mempertingkatkan kualiti pembangunan dan menjana pertumbuhan tinggi yang mampan supaya semua rakyat dapat menikmati kemakmuran. Perpaduan negara akan terus menjadi tonggak pembangunan dan kepelbagaian masyarakat Malaysia dari segi kumpulan etnik, bahasa, budaya dan agama akan diambil kira dalam memupuk sebuah masyarakat yang lebih harmoni, bertolak ansur dan dinamik. Dasar pembangunan sosioekonomi yang telah menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup rakyat akan terus diberikan keutamaan.





Rancangan Malaysia (RM)

           Rancangan Malaysia merupakan rancangan lima tahun pembangunan kerajaan Malaysia. Rancangan lima tahun ini merupakan kesan peninggalan daripada zaman pemerintah British di Tanah Melayu selepas Perang Dunia Kedua. Rancangan lima tahun bermula dengan Rancangan Malaya Pertama, iaitu, dari tahun 1956 hingga 1960. Selepas itu disambung dengan Rancangan Malaya Kedua dari tahun 1961 hingga 1965.

           Setelah penubuhan Malaysia pada tahun 1963, rancangan lima tahun ini telah ditukar kepada Rancangan Malaysia (RM) dengan Rancangan Malaysia Pertama bermula pada tahun 1966 hingga 1970. Bezanya ialah perancangan ekonomi sebelumn tertubuhnya Malaysia, tumpuan untuk kali ini dan seterusnya adalah untuk seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.





Senarai Rancangan Malaysia

Buku Kuning: 1951-1955
Rancangan Malaya Pertama: 1956 - 1960
Rancangan Malaya Kedua: 1961 - 1965
Rancangan Malaysia Pertama: 1966 - 1970
Rancangan Malaysia Kedua: 1971 - 1975; Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan sehingga 1990
Rancangan Malaysia Ketiga: 1976 - 1980
Rancangan Malaysia Keempat: 1981 - 1985
Rancangan Malaysia Kelima: 1986 - 1990
Rancangan Malaysia Keenam: 1991 - 1995
Rancangan Malaysia Ketujuh: 1996 - 2000
Rancangan Malaysia Kelapan: 2001 - 2005
Rancangan Malaysia Kesembilan: 2006 - 2010
Rancangan Malaysia Kesepuluh: 2011 - 2015

No comments:

Post a Comment